Welcome to my blog :)

rss

Wednesday 27 April 2011

Bila Doa Mudah Dan Cepat Dikabulkan?


Berdoa merupakan salah satu daripada elemen yang penting dalam kehidupan seseorang Muslim. Ia adalah pengakuan hamba terhadap kekuasaan Allah yang mutlak ke atas segala yang berlaku, manakala dari segi yang lain pula ia adalah bentuk pengabdian seorang hamba kerana hadirnya perasaan berhajat kepada Allah S.W.T. 

Sementara itu doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Maka tidak hairan di dalam Islam setiap langkah sesuatu perbuatan, ada doa-doa tertentu yang digalakkan supaya diamalkan sama ada sebelum memulakan sesuatu perbuatan ataupun selepas melakukannya. 

Kelebihan atau fadhilat doa itu pula amat besar dan banyak sekali. Melalui doa, keampunan dan rahmat diperolehi, dan melalui doa juga musibah dan kesusahan terhindar. Pendeknya, jika Allah menghendaki dan merestui doa hambaNya, tidak ada satu daya kuasa pun yang dapat menghalangnya dan Allah tidak akan mensia-siakan keikhlasan orang yang berdoa itu. 

Persoalan yang timbul sekarang ini ialah bilakah waktunya doa mudah dan cepat dikabulkan? 


Apabila seorang hamba berdoa kepada Allah, nescaya Allah akan mengabulkan doanya dan tidak akan membiarkan doanya itu kosong sahaja. Tetapi perlu diingat bahawa untuk mendapat doa yang dimakbulkan, adab-adab atau peraturan berdoa mestilah dipelihara oleh setiap orang yang berdoa. 

Di antara tuntutan dan etika berdoa itu ialah: 

• Memelihara sumber rezeki seperti makan, minum dan pakaian daripada sumber yang haram. 

• Berwudhuk dan memulakan serta mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah serta berselawat kepada Rasulullah S.A.W.

• Berdoa dengan jalan bertawassul dengan amal soleh. 

• Berdoa dengan mengadap kiblat, mengangkat dua tangan dan menyapu kedua tapak tangan ke muka setelah selesai berdoa. 

• Bersungguh-sungguh dalam berdoa dan merasa penuh yakin akan diperkenankan. 

• Berdoa dengan disertai keredhaan hati, khusyuk jiwa yang tulus ikhlas, merendahkan suara di antara berbisik dan nyaring serta diiringi dengan perasaan takut terhadap azab Allah dan penuh harapan dengan limpah kurniaNya. 

• Tidak berdoa dengan sesuatu yang tidak selayaknya. 

• Berterusan berdoa dan mengulang-ulang doa sebanyak tiga kali dan tidak berputus asa serta tergesa-gesa dengan menganggap doa tidak dikabulkan. 

• Memilih dan mengutamakan waktu-waktu dan tempat atau ketika doa mudah dan cepat dikabulkan. Diantaranya: 

i. Di satu pertiga akhir waktu malam dan selepas menunaikan sembahyang fardhu. 

ii. Ketika Lailatul Qadar. 

iii. Hari Arafah. 

iv. Di bulan Ramadhan. 

v. Hari dan malam Jummat. 

vi. Di antara azan dan iqamah. 

vii. Ketika berhadapan dengan musuh di dalam peperangan. 

viii. Ketika sujud di dalam solat. 

xi. Ketika mendengar ayam berkokok. 

x. Ketika waktu hujan. 

xi. Ketika meminum air Zam-Zam. 

xii.Ketika membaca al-Qur’an terutama apabila khatam. 

xiii Di tempat-tempat yang mulia kerana keberkatan dan kemuliaannya yang dikurniakan oleh Allah seperti di Masjid Al-Haram, masjid An-Nabawi dan Masjid Al-Aqsa. 

Begitulah etika dan waktu doa mudah dimakbulkan. Berdoa menunjukkan ingatan kepada Allah Yang Maha Kuasa. Mengingati Allah hendaklah dilakukan pada setiap masa, sama ada di waktu senang mahupun susah. Begitulah juga dengan amalan berdoa, hendaklah dilakukan setiap masa, lebih-lebih lagi di waktu senang dan susah, maka doa akan mudah diperkenankan. 

Nabi S.A.W. bersabda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A.

Maksudnya : "Sesiapa yang suka supaya dikabulkan doanya oleh Allah di waktu kesulitan dan kesusahan, maka hendaklah dia memperbanyakkan doa di waktu senang". 
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

0 comments:

Post a Comment